INDAHNYA TARBIAH ISLAM

Cukupkah Ilmu Tanpa Amal?

Sunday, December 31, 2006



Penjelasan Biar "Nyata"


Segala puji bagi allah,selawat dan salam kepada rasulnya.

Terima kasih kepada teman-teman yang cukup prihatin dengan keaktifan dan kelembapan yang berlaku di dalam blog saya ini,walaupon pada awalnya ia cuma dibina untuk 'Santai-santai,sebab itu saya cuma 'copy and paste' sahaja tajuk-tajuk yang panas supaya tajuk ini tidak di lepas pandang oleh semua pengunjung -pengunjung blog ibnu muari ini.

Tetapi melihat kepada keperluan dan terdengar kata-kata yang saya ni cuma ingin mencari nama atau publisiti murahan dengan memaparkan isu-isu panas dalam blog saya ini ,jadi mungkin mulai sekarang saya akan mengulas sedikit tajuk2yang saya kemukakan walaupon adan yang berpendapat kalau saya berkata ia cukup "pedas".apa pon saya akan cuba buat yang terbaikmengikut landasan yang betul dalam mengkritik,menulis dan menerangkan sesuatu.

Sebenarnya saya meletakkan beberapa prinsip dalam blog saya ni iaitu:

1. Peribadi
2.Thaqafah Islamiah
3.Jamaah dan perjuangan
4.Isu-isu
5.Cadangan dan kritikan

Jadi jika saya menulis saya tidak akan menulis 'Dairi' saya sepanjang seminggu seperti sesetengah blog.Lainlah kalau macam Blog Ketua Pemuda Pas Johor abang faizi kita.

Apa pon doakan semangat saya ini tidak pudar dalam memperbaiki mutu penulisan kerana bagi saya ia merupakan JIHAD Mata pena yang cukup tajam dari mata pedang,bayangkan dengan tulisan kita boleh menjatuhkan sesebuah negara.

Salam Perjuangan

Ibnu_muari...



Sunday, December 24, 2006


Isu nada dering ayat al-Quran: Mufti, Jakim 'telagah


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan penggunaan nada dering ayat al-Quran dan azan pada telefon bimbit tidak menyalahi hukum Islam, namun Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berpandangan sebaliknya.

Mufti berusia 35 tahun itu berkata, alasan melarang penggunaan nada dering ayat al-Quran lebih kukuh daripada membenarkannya dan beliau akan mengusulkan pengharamannya apabila mesyuarat majlis fatwa diadakan tahun depan.

“Telefon bimbit boleh berbunyi di mana-mana saja tanpa dapat kita mengawalnya, termasuk ketika di dalam tandas. Sebaik-baiknya kita tidak buat perkara yang dilarang atau dibimbangi berlaku sama ada secara sedar atau tidak, kerana ia permulaan kepada perkara dilarang.

“Perkara ini sama seperti larangan wanita dan lelaki bukan muhrim pergi ke tempat sunyi kerana boleh mengundang zina,” katanya kepada Metro Ahad.

Sebelum ini Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata biarpun setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan penggunaan nada dering ayat al-Quran dan azan, Jakim berpendapat ia tidak salah di sisi agama.

“Jakim tidak nampak daripada sudut agama bacaan ayat al-Quran salah dijadikan nada dering, sebaliknya ia lebih memberi kebaikan untuk mengingatkan kepada waktu solat dan mendekatkan diri kepada agama.

“Apa bezanya cakera padat al-Quran dan ayat al-Quran yang kita dengar menerusi radio dan juga boleh didengar dalam bentuk nada dering telefon. Ia sama saja. Ia tidak bertentangan dengan agama dan kalau nak dianggap seperti hiburan, ia masih tidak salah selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak,” katanya.

Bagaimanapun, Mustafa berkata, Jakim tidak membenarkan ayat al-Quran dipaparkan pada skrin telefon bimbit kerana bimbang pengguna membawanya ke tempat tidak sesuai seperti ke tandas dan tempat hiburan melampau yang boleh merendah kesucian ayat al-Quran dan membawa kepada melakukan dosa.

“Kalau ayat al-Quran dipaparkan pada skrin telefon, ia hendaklah dipadamkan kerana bimbang kita bawa ke tempat tidak sesuai atau masuk tandas. Begitu juga nada dering ayat al-Quran dan azan, tidak baik jika dibawa ke tempat seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata, amalan mematikan nada dering untuk memasuki tandas memang mudah dinyatakan secara teori, namun daripada segi pelaksanaannya tidak ramai berbuat demikian.

“Jika ada mengatakan mereka akan menutup bunyi telefon bimbit ketika memasuki tandas, keadaan itu sukar ditemui kerana masih ramai gagal berbuat demikian.

“Jika ini pun sekarang tidak mampu dilakukan, apa lagi jika nada dering bacaan ayat al-Quran dibenarkan kerana besar kemungkinan mereka lupa menutup telefon atau tidak membawanya,” katanya.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula sebelum ini dilaporkan berkata, daripada satu aspek, nada dering ayat suci al-Quran dan laungan azan mengingatkan umat Islam mengenai ibadat seperti kewajipan menunaikan solat, namun penggunaannya juga boleh merendahkan kesucian ayat al-Quran.

“Memang baik untuk umat Islam tetapi daripada satu segi, ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, kalau didengar di tempat seperti itu, ia merendahkan kesucian al-Quran,” katanya.

Ogos lalu, seorang ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan nada dering telefon bimbit kerana dianggap menjejaskan kesucian Islam.

Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh, apa lagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya dalam tandas atau premis hiburan seperti disko.

“Ayat suci al-Quran sangat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,” katanya.

Seorang lagi ulama negara berkenaan, Suad Afif, mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci al-Quran dan azan.

“Kita tidak mahu di tengah kegilaan masyarakat mendapatkan nada dering diminati, aspek kemurnian agama Islam pula tercemar dan tidak terjaga. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan diperlekeh, baik secara sengaja atau tidak,” katanya.

Ulama kolej agama Dar-ul Uloom di India, Mohammed Asumin Qazmi, pula mengeluarkan fatwa mengharamkan petikan ayat al-Quran atau laungan azan dijadikan nada dering dan berkata, perbuatan itu menyalahi ajaran Islam.

“Ayat al-Quran bukan untuk tujuan hiburan. Sesiapa yang terus melakukannya patut disingkirkan daripada masyarakat,” katanya.

Ulama terkenal di Lucknow, India, Mufti Badru-Hasan, pula dilaporkan berkata, beliau menyokong larangan penggunaan nada dering seperti itu.

“Seseorang perlu mendengar ayat al-Quran dengan lengkap dan menghayati apa dibaca. Jika ia digunakan sebagai nada dering, pemilik biasanya akan menekan butang untuk menyahut panggilan, menyebabkan ayat al-Quran itu terputus separuh jalan. Ini bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Wednesday, December 20, 2006

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bincang pelaksanaan undang-undang khalwat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin Isnin mengakui pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berkaitan khalwat kurang mantap dan perlu diperkemaskan.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan bermesyuarat dalam masa yang terdekat ini bagi membincangkan perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkenaan

"Daripada segi undang-undang ia adalah baik tetapi masalah adalah daripada segi prosedur pelaksanaan yang perlu dimantapkan," katanya pada persidangan Dewan Negara semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2007 berkaitan hal ehwal agama Islam.

Abdullah dihujani soalan daripada beberapa senator yang meminta penjelasan berhubung cadangan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abibin berkenaan isu khalwat yang disifatkan mereka sebagai suatu yang baru dan berbeza daripada pandangan biasa.

Bernama melaporkan katanya pandangan Mohd Asri itu bersifat peribadi dan mencerminkan pandangan mufti itu sebagai seorang yang masih muda.

"Saya percaya kepada panel akidah saya, saya percaya kepada panel mufti saya. Dia orang muda...bagi dia bercakap. Saya hormati pandangan dia dan saya terbuka," katanya.

Mohd Asri sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Majlis Agama Islam patut menghentikan intipan dan menahan orang yang berkhalwat di hotel berdasar kepada maklumat yang tidak jelas bagi mengelak kesilapan.

Sebaliknya, kata beliau, Majlis Agama Islam patut menumpukan usaha pencegahan kemungkaran yang berlaku secara terang-terangan seperti minum arak dan berjudi.

Mengenai saranan seorang senator supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan garis panduan berkenaan aurat wanita, Abdullah berkata perkara itu tidak perlu dilakukan.

"Soal aurat cukup jelas dan tidak perlukan garis panduan. Saya rasa semua orang tahu aurat lelaki, aurat wanita sebab banyak dalam kitab-kitab," katanya.- 18/12/2006

Monday, December 18, 2006


Berkenaan kenyataan mufti Perlis.

Assalamualaikum.

Sentuh sedikit tentang kenyataan mufti Perlis yang baru dilantik, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disiarkan pada akhbar hari ini;

Mohd Asri menganggap amalan itu bertentangan dengan prinsip hak asasi, menyerupai perbuatan menceroboh, malah memalukan Islam kerana pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam pergi ke hotel dan meminta senarai nama penginap.
Katanya, prinsip amar makruh nahi mungkar hanya boleh dilaksanakan apabila kesalahan dan jenayah dilakukan secara terbuka tetapi menceroboh hak individu lain bertentangan ajaran Islam.
Malah, Mohd Asri turut mempersoalkan amalan pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam membawa bersama wartawan ketika mengadakan operasi menangkap pasangan khalwat. Berita Minggu - 17 Disember 2006

Jika kita masih ingat dahulu kumpulan-kumpulan liberal pernah mempersoalkan perlaksanaan amal maaruf nahi mungkar oleh jabatan agama atas nama hak asasi. Di sini saya bukanlah orang yang layak untuk mempertikaikan seorang yang bertaraf mufti itu. Cumanya pandangan beliau itu seolah-olah senada dengan golongan liberal yang sering mempertikaikan perlaksanaan hukum Islam dengan alasan melanggar hak asasi. Tambahan lagi apabila pandangan mufti darul sunnah ini disiarkan dalam akhbar New Straits Times yang menjadi pentas untuk menghentam Islam. Jadi dikhuatiri kenyataan Dr Asri ini akan membangkitkan semula semangat mereka untuk membangkitkan kembali tentang apa yang dinamakan sebagai moral policing ini.

Jadi seperti yang disarankan oleh pengarah Jakim dalam akhbar yang sama hari ini, sebagai seorang mufti yang masih baru adalah lebih baik beliau membincangkan perkara ini dengan mufti-mufti yang lain secara tertutup terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara ini diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tertentu.


MALAYSIA MENUJU " FREE SEX "

cetusan rasa :

Islam Hadhari tajaan UMNO dan BN tidak meletakkan tanda arah yang selamat bagi masa depan Negara ini , malah tidak pernah berjaya membentuk syakhsiyyah ummah yang beriman dan bertaqwa.

Realiti ini dapat disaksikan secara mudah melalui landskap politik Negara dan perkembangan sosialnya. Apa yang wujud ialah penguasaan dan pengaruh material yang jauh terpisah dari wahyu Ilahi.

Nafsu syahwah yang buas dan liar pula didapati mengungguli gaya hidup semasa masyarakat , sementara elemen spiritual yang dianggap boleh mengekang penguasaan nafsu syahwah dari melewati batas syariat terus dicurigai dan dipandang negative.

Kecemerlangan Negara telah dinodai oleh peningkatan jenayah dipelbagai lapangan dengan begitu dahsyat dan menakutkan. Jenayah yang tidak lagi dinilai indeknya per"tahun" atau per"bulan" tetapi telah dihitung peningkatannya per"minit" atau per"saat" .

Kegemilangan Negara telah dicemari oleh indeks rasuah dan penyelewengan kuasa oleh pihak "atasan" . Sistem kehakiman tidak lagi diyakini ketelusannya sementara badan – badan yang selayaknya memagari Negara dan masyarakat telah bertindak merosakkan Negara dan masyarakatnya sendiri.

Keterbilangan Negara menjadi omongan kosong yang tidak melonjak prestasi Negara samaada di mata rakyat sendiri mahupun di persada antarabangsa. Sebagai contoh mudah , akta zalim ISA masih menghantui rakyat dan meninggalkan kesan fobia yang ketara bagi mereka yang pernah menjadi mangsanya. Hak bersuara dan kebebasan untuk beramal dengan Amal Islami masih giat dihalang dan disekat.

Kebodohan dan kekejaman .


Slogan dan prinsip Islam hadhari kini menjadi bahan perlecehan oleh ahli UMNO dan BN sendiri , bahkan apa yang lebih lucu ialah apabila pengasasnya turut menyimpang jauh dari apa yang ia asaskan sendiri.

Tiadalah kebodohan yang paling teruk melainkan mereka yang mengasaskan sesuatu gagasan tetapi dia sendiri kelihatan tidak yakin dan memahami apa yang ia asaskan .

Demikian tiada kezaliman yang lebih kejam melainkan mereka yang mencipta undang – undang dan peraturan tetapi mereka sendiri melampaui dan melanggar undang – undang serta peraturan ciptaan mereka.

Mungkin ada pihak yang agak sukar menerima penegasan saya, sebalik nya berpihak kepada UMNO dan BN dengan segala sangka baik.

Manakan tidak , apa lagi yang diperlukan oleh rakyat setelah kerajaan UMNO dan BN menyediakan segala kemudahan material buat Negara dan rakyat. Kenapa lagi kerajaan mesti ditentang ? Bukan kah ini membuktikan kita kelak menjadi rakyat yang tidak tahu berterima kasih dan tidak tahu diuntung ?

Telah saya tegaskan tadi , bahawa Negara kita hanya berada di bawah pengaruh material yang tidak menjanjikan keredhaan Ilahi. Malah kita tidak pernah cemburu apalagi menentang tindakan UMNO dan BN yang membangunkan Negara ini sebagai kemudahan kepada rakyat , sementelah itulah tugas sebuah kerajaan yang berdaulat.

Kita tidak menentang pembinaan hospital , sekolah , perpustakaan awam , jalan raya dan sebagainya . Tetapi apa yang menjadi persoalannya ialah , Apakah paksi dan sendi segala pembinaan struktur material ini ?

Apalah ertinya , Negara memiliki pembangunan mencakar langit namun dicelah – celah pembangunan itulah hidupnya manusia yang tergamak menjual tubuh mereka untuk mencari sesuap nasi , menghabiskan sisa usia sekadar menikmati kepuasan nafsu syahwah yang melekakan , menghambakan diri kepada najis dadah yang membunuh masa depan mereka .

Celah – celah pembangunan itulah menjadi sarang yang melahirkan manusia yang tiada lagi peri kemanusiaannya tetapi hanya melahirkan manusia yang berperi kebinatangan .

Konsert hiburan yang marak tanpa dibendung , kelab malam yang diluluskan operasi sehingga awal pagi , pusat pelacuran yang aktif tanpa dibenteras , pengedar dadah yang lolos melalui pintu rasuah , aktiviti pemurtadan ummat Islam yang tiada tindakan drastic untuk membasminya , perlecehan akhlak dan moral melalui aksi menjolok mata malah separa lucah para artis di dada akhbar dan layar pawagam , jenayah dikalangan VIP sering bolos dari jaring undang – undang dan banyak lagi , dan banyak lagi dan banyak lagi fenomena – fenomena negative dihadapan kita , menjadikan apa yang telah saya tegaskan ini tidak boleh dinafikan mentah – mentah.

Media cetak dan elektronik menjadi virus yang melalaikan .

Surat Khabar sering memaparkan topic yang tidak membina aqal budi ummah apalahi akhlak dan maruah diri mereka . Lihat sahaja kepada akhbar Malay Mail yang membawa topic "Let's talk about sex" secara terbuka menghina sensitivity ummah bermaruah .

Paparan gambar lucah dan separa lucah oleh artis dalam dan luar Negara di dada – dada akhbar malah majalah – majalah yang mudah diperolehi turut menyumbang kepada pembentukan generasi yang lalai dan runtuh moral mereka .

Dialog dan perbincangan yang merangsang nafsu kini mula boleh didengari melalui corong – corong radio ,
[1] siri – siri jenaka TV turut menggunakan istilah - istilah "double meaning" .

Filem – filem melayu kelihatan semakin hari semakin panas dan berani mengutarakan perlakuan seks ketara dan terbuka sebagai langkah merosakkan nilai fitrah dan fikrah masyarakat .
[2]

Saya berani cabar , sila tunjukkan kepada saya , mutaakhir ini surat khabar mana ( Berita harian , Utusan Malaysia dan Metro ) dan hari apa yang tiada memuatkan topic serta gambar lucah atau separa lucah .

Malaysia melalui pemerintahan Islam Hadhari kini menanda arah untuk membawa Malaysia menjadi sebuah Negara Free Sex pada masa depan .



Asri, hati-hati dengan jawatan mufti anta


Oleh Yaasin

"Islam adalah agama nasihat.
Ana ingatkan anta sebagai sahabat
Agar ingat dan bermanfaat
Jadi bekalan dunia akhirat...

Dulu hanya pensyarah universiti
Sekarang sudah jadi mufti
Kenal Shahidan jawatan diberi
Sudah istikharah minta pilihan sejati?

Jawatan mufti bukan mudah

Sentiasa saja sering terdedah

Kepada ujian dan juga fitnah

Kalau tak jaga akan kalah


Dulu suka sangat berdebat

Ramainya, antaranya Astora Jabat

Untuk agama atau saja nak menyakat

Hanya Allah yang tahu niat


Umur muda terima jawatan

Ilmu ada kurang pengalaman

Seeloknya diberi kepada yang 50an

Agar ilmu dan pengalaman disekalikan


Bacalah kisah Imam Shafie

ulama lain, juga tabie

Terima jawatan rasa ngeri

Silap buat azab menanti


Tumpukan pada perkara dasar

Aqidah, syariah, jangan dibiar

Rasuah, membazir juga mungkar

Semuanya mesti dibongkar


Anta adil anta selamat

Anta zalim anta dilaknat

Ucapan mufti sentiasa dilihat

Sama ada baik atau jahat


Qadhi ada 3 golongan

2 neraka, 1 ke syurga tiada teman

Mufti entah apa gerangan

Hati-hatilah dengan jawatan


Bukan kritik bukan ajar
cuma nasihat supaya didengar
dari ana rantisi_jr



Jaip hanya serbu hotel berdasar maklumat



IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) tidak pernah membuat serbuan ke hotel atau rumah tumpangan berhubung pasangan Islam yang melakukan maksiat tanpa sebarang maklumat sahih.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury berkata, semua maklumat yang diperoleh sebelum sesuatu serbuan dijalankan, didapati tepat.

Katanya, berikutan pendekatan itu, Jaip berkeyakinan dapat menahan pasangan Islam yang melakukan maksiat di dalam bilik hotel, rumah tumpangan, pusat hiburan dan taman rekreasi.

“Dalam hal sebegini tidak timbul permasalahan mengaibkan pihak tertentu kerana menjadi tanggungjawab kami untuk menghalang sebarang perbuatan maksiat,” katanya di sini, semalam.

Jamry berkata, purata umat Islam yang ditahan atas kesalahan maksiat dalam tempoh sebulan sama ada di hotel, rumah tumpangan, pusat hiburan dan taman rekreasi di negeri ini membabitkan antara lapan hingga 10 pasangan.

Katanya, jumlah itu ada ketikanya meningkat sehingga 15 pasangan jika terdapat cuti umum atau sebarang sambutan perayaan tertentu.

“Antara kawasan yang mencatat statistik tertinggi berlakunya tangkapan maksiat sekitar bandar raya Ipoh, Taiping dan Manjung.

“Justeru, Jaip kini mempunyai 200 pegawai penguat kuasa sukarela yang bertindak sebagai pemberi maklumat kepada jabatan supaya pegawai agamanya dapat membuat serbuan,” katanya.

Beliau berkata, Jaip juga tidak bersetuju dengan kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini bahawa pemeriksaan di bilik hotel perlu dihentikan kerana mampu menimbulkan aib individu.

Mohd Asri sebelum ini dipetik sebagai berkata, pemeriksaan membabitkan media dan dihebahkan kepada umum menjadikan pemeriksaan itu seperti sengaja ingin menjatuhkan maruah mereka yang ditangkap berkhalwat.

Jamry berkata, Perak kini mengambil langkah lebih agresif bagi mengelak penularan kegiatan maksiat di kalangan umat Islam terutama yang membabitkan golongan remaja.


Zainuddin sokong kes khalwat tidak diperbesarkan



SUNGAI PETANI 17 Dis. – Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin menyokong gesaan supaya kes khalwat tidak diperbesarkan dalam akhbar kerana ia hanya memalukan mereka yang ditangkap selain bukan merupakan jalan yang berkesan untuk mendidik umat Islam supaya menjauhi maksiat.

Zainuddin yang mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa kes tangkap khalwat tidak perlu diperbesarkan, berkata beliau sendiri tidak bersetuju terhadap tindakan mendedahkan kes tangkap khalwat dalam akhbar termasuk menyiarkan gambar pasangan yang ditahan.

“Tindakan membetulkan akhlak seseorang tidak boleh dilakukan dengan mengaibkan orang berkenaan, tetapi ia harus dilakukan dengan cara berhemah dan pendidikan,” katanya.

Beliau juga bimbang akhbar tidak dapat berlaku adil dalam membuat laporan kes tangkap khalwat itu.

“Ketidakadilan mungkin berlaku. Katakan yang kena tangkap itu orang biasa, surat khabar siarkan beritanya, tetapi apabila yang kena tangkap itu anak orang berkedudukan, akhbar tidak siarkan berita itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar ‘Merbok-Prospek dan Potensi Pelancongan’ di sini, hari ini.

Zainuddin juga berkata, alim ulama juga harus melihat perkara yang lebih besar daripada ‘seronok’ menahan orang berkhalwat.

Banyak lagi perkara besar yang berlaku di depan mata yang perlu dibendung bersama oleh alim ulama seperti kes ragut, rompak, mat rempit dan penagihan dadah, katanya.


Saya hanya mahu bersihkan imej Islam – Mufti Perlis

KANGAR 17 Dis. – Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, cadangan beliau agar serbuan khalwat di hotel dihentikan oleh pihak berkuasa agama bertujuan untuk membersihkan imej Islam daripada perkara-perkara yang tidak sewajarnya.

Menurutnya, kesilapan dalam kes-kes tangkapan khalwat termasuk menangkap pasangan suami isteri yang tidur di hotel dan juga terhadap pasangan asing bukan Islam merupakan perkara yang boleh memalukan agama Islam.

‘‘Saya tidak mahu agama Islam menjadi bahan ketawa kerana kesilapan yang kita lakukan sedangkan agama tidak menuntut kita melakukan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, Islam tidak menyuruh umatnya melakukan serbuan khalwat berdasarkan pada maklumat yang tidak jelas dan kemudiannya bertindak seperti mengaibkan pasangan terlibat.

Dr. Asri menambah, jika isu seperti khalwat menjadi keutamaan pihak berkuasa dengan melakukan serbuan maka perkara mungkar yang lain juga wajar diambil tindakan yang sama.

‘‘Kalau begitu kita kena intip rumah-rumah yang dikatakan berlaku kemungkaran termasuk suami isteri yang mungkin melakukan perkara mungkar seperti tidak bersembahyang dan menahan pasangan lelaki dan perempuan yang menaiki kereta yang sama,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman yang mahu mengadakan muzakarah bagi membincangkan cadangan itu, katanya, beliau akan berjumpa dengan Jakim esok.

Dr. Asri memberitahu, umat Islam boleh bertindak menyekat kemungkaran sekiranya sesuatu perbuatan mungkar itu melibatkan kepentingan pihak lain seperti rasuah, dadah atau meminum arak yang mendatangkan masalah kepada orang lain.

Dosa khalwat katanya, hanya melibatkan antara mereka yang berkenaan dengan Tuhan dan mereka juga mungkin bertaubat setelah dihadapkan ke mahkamah.

‘‘Kita boleh bertindak terhadap aduan khalwat sekiranya maklumat itu benar dan tidak perlu kita pergi membuat pemeriksaan secara rambang atau berdasarkan pada maklumat tidak jelas,” katanya.

Dr. Asri berkata, beliau dan beberapa lagi mufti serta pegawai kanan Jakim termasuk Mustafa akan berangkat ke New Zealand pada malam esok bagi mengikuti perbincangan tentang program produk halal.