INDAHNYA TARBIAH ISLAM

Cukupkah Ilmu Tanpa Amal?

Monday, July 24, 2006


REKOD KEHADIRAN USRAH

Satu daripada penandaarasan kualiti ialah adanya rekod bertulis yang sistematik bagi semua aktiviti yang dilaksanakan. Kualiti usrah juga dapat ditingkatkan jika hal ini diberi perhatian.

Sebenarnya kita sudah mempunyai kebiasaan mencatat kehadiran dalam mesyuarat dan mengedarkan catatan mesyuarat yang dinamakan minit kepada semua ahli mesyuarat. Kita cuma perlu memastikan perkara yang hampir sama dilaksanakan dalam usrah.

Dalam sesuatu mesyuarat, pengerusi akan memastikan kehadiran sebelum mesyuarat. Pengerusi mengambil perhatian tentang jumlah ahli yang sepatutnya hadir, jumlah ahli yang sebenarnya hadir dan jumlah ahli yang tidak hadir serta sebab-sebab ketidakhadiran mereka. Mesyuarat hanya bermula setelah senarai kehadiran dipastikan dan dicatat oleh setiausaha.

Hampir sama dengan situasi mesyuarat, dalam sesi usrah, naqib perlu mengambil tahu kehadiran anak-anak usrah. Hal ini dilakukan sebaik-baik sahaja usrah dibuka dengan al-Fatihah dan doa. Malah, naqib sepatutnya bertindak lebih mendalam berbanding pengerusi. Antaranya, naqib boleh mencungkil lebih lanjut sebab-sebab ketidakhadiran seseorang ahli dan memberi ulasan yang membina. Antara ulasan yang boleh diberikan ialah mengajak ahli yang berkelapangan menziarahi rakan yang tidak hadir kerana sakit dan menugaskan seorang ahli menziarahi rakan yang tidak hadir tanpa sebab untuk diketahui sebab-sebabnya. Nasihat tentang pentingnya kehadiran dan ingat mengingat sesama anak usrah boleh juga diselitkan.

Hal yang terpenting ialah kehadiran mesti dicatat oleh setiausaha usrah. Catatan sebaik-baiknya dilakukan dalam buku khas atau borang yang disimpan dalam fail. Penggunaan borang sangat digalakkan. Sebaik-baiknya borang itu direka dengan perisian komputer seperti MS-Excel dan dikemaskinikan selepas usrah berakhir. Dengan menggunakan perisian komputer cetakan borang lebih kemas dan mudah dianalisis. Rekod itu boleh diedarkan kepada semua ahli dari semasa ke semasa atau sebulan sekali. Sudah pasti cara ini akan memberi implikasi positif terhadap kehadiran anak-anak usrah.

Mungkin anda ahli usrah telah menghadiri beberapa jenis usrah sejak bertahun-tahun yang lalu dan usrah anda tidak mempunyai rekod kehadiran. Anda mungkin tertarik dengan idea ini dan bersedia menyampaikan idea ini kepada naqib usrah anda untuk dilaksanakan. Jika anda sendiri menjadi naqib usrah itu, usahakanlah agar setiausaha usrah anda melaksanakan perkara ini mulai usrah minggu hadapan.

Kita tumpang bangga kerana ada usrah pelajar di sekolah berasrama penuh di negara kita mempunyai rekod kehadiran usrah. Sistem merekod kehadiran itu telah dikuatkuasakan sejak dua tahun yang lalu. Hal itu berlaku setelah adanya satu tinjauan semula terhadap keberkesanan usrah di institusinya. Semua usrah pelajar di sekolah dan di institusi pengajian tinggi mesti menjadikan usaha sekolah berasrama penuh itu sebagai teladan.

Tahniah dan syabas sekiranya usrah anda telah mempunyai rekod kehadiran. Jika rekod kehadiran itu belum kemas atau pelaksanaannya belum mantap, lakukanlah penambahbaikan dari semasa ke semasa. Sebaliknya, jika usrah anda belum mempunyai rekod kehadiran, mulakanlah!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home