INDAHNYA TARBIAH ISLAM

Cukupkah Ilmu Tanpa Amal?

Friday, August 04, 2006

PEMIKIRAN UMMAH CENTRIC :
SATU KEKELIRUAN YANG DISENGAJAKAN

Setakat ini , sudah melebihi 40 kali saya dihujani persoalan dan pertanyaan mengenai Pemikiran Ummah Centric . Kebanyakkannya daripada rakan - rakan mahasiswa - mahasiswi dalam dan luar negara .

Sebelum ini saya telah diajukan beberapa hujjah mengenai Ummah Centric . Peringkat awal , saya melihat nada mereka dengan pembawaan istilah ini agak menarik .
Tetapi setelah saya melihat dan memerhati bagaimana istilah ini atau pemikiran ini dirumus dan diolah serta saya meneliti jua bagaimana pemikiran ini dihasilkan dan bagaimana penterjemahannya , saya berkesimpulan bahawa satu kekeliruan telah diwujudkan atau dilontarkan ditengah - tengah kejernihan Amal Jamaei dan para pencintanya .

Keresahan dan kegelisahan para aktivis Harakah Islamiyyah terhadap perkembangan ini , mendorong saya mengemukakan satu sorotan serius serta penegasan agar kekeliruan disingkap dan ketidak-jujuran disita .

MUQADDIMAH.

Pemikiran Ummah Centric yang dikemukakan dewasa kini , dilihat sebagai satu percubaan untuk merombak tambatan intima’ tanzimi ( penglibatan secara bertanzim ) terhadap jamaah .

Ianya dilihat demikian apabila pemikiran Ummah Centric diperkenalkan tanpa intima’ terhadap jamaah , sebaliknya pemikiran Ummah Centric diterjemah sebagai " tidak terikat dengan jamaah serta boleh menyertai dan menjadi ahli kepada sebahagian atau semua jamaah yang wujud " .

Sementara mereka yang memberikan intima’ kepada jamaah dianggap berfikiran Jamaah Centric yang perlu dihakis .

Bagi menjelaskan isu ini , terlebih dahulu saya merasakan perlu dipertegaskan pengertian umum mengenai jamaah dan persoalan sekitarnya .

KEWAJIBAN BERINTIMA’ KEPADA JAMAAH

Perjuangan Islam dilangsungkan secara berjamaah . Tiada siapa yang boleh menafikan penegasan ini justeru ia sabit melalui nas yang diwahyukan oleh Allah swt. jua sirah perjuangan baginda saw. Firman Allah swt. yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah suka ( redho ) terhadap orang – orang yang berjuang di jalanNya sebagai satu saff , seolah – olah mereka adalah satu binaan yang kukuh , tersusun rapi .
Surah As Saff : 4

Mafhum mukhalafah dari ayat di atas ialah ” Allah tidak suka ( murka ) terhadap orang – orang yang berjuang dalam banyak saff ” begitu juga terhadap mereka berjuang berseorangan tanpa membentuk saff .

Dr. Yusuf Al Qaradhawi di dalam kitabnya Aulawiyyatul Harakatil Islamiyyah Fi Marhalatil Qaadimah[1] , ketika menjelaskan Ayat 4 dari surah saff menegaskan : ”....... dan tidak dapat tidak bahawa gerakerja amal islami ( perjuangan islam ) dilaksanakan secara :

Jamaei yang bertanzim ( organisasi yang bersistem )pula bergerak dengan kepimpinan yang bertanggungjawabaktivis yang bersedia melaksanakan tugas , ( on call )kefahaman yang jelasmembentuk hubungan kepimpinan dan aktivis yang eratbertitik tolak pula dari syura yang wajib diberi komitmen ketaatan yang wajib dengan tidak membuta tuli .

Sabda Rasulullah saw.:
عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى هَذِهِ الأَعْوَادِ أَوْ عَلَى هَذَا الْمِنْبَرِ مَنْ لَمْ يَشْكُرْ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرْ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالتَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ
[2]

Dari Nu’man bin Basyir telah berkata : Rasulullah saw. telah bersabda di atas mimbar ini : Barang siapa tidak bersyukur dalam keadaan sedikit ( sedikit perolehan ) , nescaya ia tidak akan bersyukur dalam keadaan banyak ( banyak perolehan ) dan barangsiapa yang tidak tahu bersyukur ( berterima kasih ) kepada manusia , nescaya ia tidak bersyukur kepada Allah azza wa jalla dan menyebut – nyebut tentang nikmat Allah itu adalah tanda syukur sementara meninggalkannya adalah tanda kufur dan Jamaah adalah rahmat sementara berpuak – puak pula adalah azab .
Riwayat Imam Ahmad

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الاِثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ

Wajib ke atas kamu berjamaah dan berwaspadalah terhadap gejala berpuak – puak , justeru sesungguhnya syaithan bersama orang yang bersendirian sementara syaithan berada sangat jauh dari orang yang berdua , barangsiapa yang mahu tempat teristemewa di tengah-tengah syurga ( kerakyatan ) syurga maka hendaklah ia melazimi ( mewajibkan diri ) bersama Jamaah .
Riwayat Imam Tarmizi[3]

Para Ulama’ turut berhujjah dengan menggunakan kaedah feqh bagi menjelaskan kewajipan muslim memberi intima’ terhadap jamaah , setelah dilihat bahawa Jamaah adalah merupakan satu wasilah penting untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah yang runtuh .

Fungsi jamaah akan menyatukan ummah dengan kepimpinan dan gerak kerja amal Islami yang sistematik . Tanpa jamaah ( organisasi berkepimpinan ) , ummah tidak mungkin dapat diikat dengan pengarahan terancang dan strategik untuk melahirkan satu gerakan dan kebangkitan bagi memperjuangkan Islam , sedang mendaulatkan syariat dan mendirikan Khilafah Islamiyyah itu adalah wajib .

Maka menubuhkan jamaah dan memberikan intima’ kepadanya dihukum wajib berasaskan kaedah feqh :

مَا لاَ يَتِمُّ اْلوَاْجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاْجِبٌ
Suatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengannya , maka sesuatu itu menjadi wajib .

Begitu juga dengan Firman Allah swt. yang bermaksud :
.... dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru ke arah kebaikan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan .
Surah Aali Imran : Ayat 104

Al Imam Allusi Rhm. di dalam Ruuhul Ma’ani ketika menafsirkan ayat ini , menegaskan pengertian ummah di dalam ayat ini ialah individu yang bergandingan ( membentuk satu jamaah ) melaksanakan tanggungjawab tersebut .

Ibnu Katheer Rhm menyebut : ....dan maksud dari ayat ini ialah , bahawa hendaklah ada satu golongan ( firqah / jamaah ) daripada ummah ini melaksanakan tanggungjawab tersebut .
Ayat di atas , sungguhpun menggunakan perkataan ummah , ini tidak bermakna Allah melepaskan tanggungjawab terbuka kepada ummah tanpa wujud satu gerakkerja yang terancang dikalangan ummah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut .

Gerakkerja terancang dan sistematik , adalah satu keperluan asasi dan bersifat principle untuk menjayakan perlaksanaan tanggungjawab yang termaktub di dalam ayat di atas : ( iaitu )

1. Dakwah Islamiyyah
2. Perlaksanaan Syariat ( Amar Makruf )
3. Mencegah kemungkaran

Saiyidina Ali karramallahu wajhah pernah menegaskan :

اَلْحَقُّ بِدُوْنِ النِّظَام يَغْلِبُهُ اْلبَاطِلِ بِالنِّظَام

Kebenaran tanpa tanzim ( penyusunan terancang / sistematik ) akan dikalahkan oleh kebathilan yang mempunyai perancangan penuh sistematik .

Gerakkerja terancang inilah memerlukan satu pembentukan Jamaah yang Munazzamah , mempunyai kepimpinan yang berwibawa dan diikat dengan intima’ yang berasaskan ketaatan kepada jamaah dan pimpinannya yang memperjuangkan Islam.

Saiyidina Omar Al Khattab rha. menyebut :

لاَ إِسْلاَمَ إِلاَّ بِجَمَاعَةٍ وَ لاَ جَمَاعَةَ إِلاَّ بِإِمَارَةٍ وَ لاَ إِمَارَةَ إِلاَّ بِطَاْعَةٍ
.
Tiada Islam tanpa Jamaah dan tiada Jamaah tanpa Kepimpinan dan tiada Kepimpinan tanpa Taat .

Lebih terasa keperluan Jamaah ini setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah terakhir pada tahun 1924 yang lalu , ulamak yang memahami tanggungjawab untuk mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah yang runtuh telah merancang dan membentuk Jamaah Islamiyyah atau Harakah Islamiyyah sebagai wadah ummah untuk berjuang dengan teliti dan strategi guna mengembalikan Khilafah tersebut .

Bermula 1928 apabila tertubuhnya Gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang ditubuhkan oleh Imam Hassan Al Banna , maka kesedaran berjamaah ini mula tersebar keseluruh pelusuk dunia . Akhirnya pelbagai Gerakan Islam muncul di serata dunia , yang berjuang dengan matlamat yang sama kearah mendaulatkan Syariat Allah dan mengembalikan semula Khilafah yang telah runtuh . Bahkan di Mesir sendiri wujud pelbagai Jamaah Islam dengan pelbagai pendekatan dan penampilan .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home