INDAHNYA TARBIAH ISLAM

Cukupkah Ilmu Tanpa Amal?

Friday, August 04, 2006

FENOMENA TAADUD JAMAAH .( Sepintas lalu …)

Dibolehkan Taadud namun BERSYARAT

Syeikh Mustafha Masyhur: Adapun kewajipan dan pendirian kami tentang jemaah-jemaah (selain Ikhwan Muslimin) ialah apa yang diperluaskan oleh Agama Islam daripada sifat kasih sayang, mawaddah, nasihat-menasihati, bantu-membantu diatas dasar kebajikan dan mengelak perselisihan dan pertelingkahan serta berusaha untuk bersatu.[4]

Syeikh Said Hawwa: Kami menyedari bahawa berbilang-bilang pertubuhan mungkin boleh ditubuhkan dan boleh ada dalam satu Negara. Pertubuhan - pertubuhan ini mungkin Parti politik semata – mata , mungkin pertubuhan kebajikan, pertubuhan ilmuan dan tarbiah yang dihimpunkan diatas sifat Islamiah.[5]

Dr Solah Shawi: Sesungguhnya taadud yang diterima dilapangan Amal Islami ialah taadud takhassus dan tanawwu’ bukannya taadud tudhod wa tanaqud. Adapun taadud yg memecahkan wala umat Islam,melaknati sesama manusia merupakan wabak dan kecelakaan yg mengubah waqie kepada tersebar fitnah dan membuka jalan kepada pandangan untuk mula beruzlah.[6]

Dr Yusof Qaradhawi: Tiada halangan taadud jemaah yg beramal untuk Islam, selagimana terdapat keuzuran untuk mewujudkan sebuah kesatuan disebabkan kelainan matlamat, manhaj, fahaman dan thiqah kepada setengah yg lain berdasarkan kepada taadud takhassus dan tanawwu’ dan bukan taadud tudhod dan tanaqud.Semuanya wajib berdiri dalam satu sof pada setiap perkara yg mengembalikan ketuanan Islam, Aqidah Islamiah dan keizzahan umat Islam.[7]

Taadud yang TIDAK dibolehkan .

Syeikh Fathi Yakan: Lapangan Islam telah menyaksikan kelahiran harakah – harakah ,tanzim - tanzim diatas ruang lingkup yg luas. Meskipun sesetengah berpendapat dan mengira taddud jemaah sebagai fenomena sihat, saya menganggap taadud sebagai fenomena berpenyakit dan bahaya serta diperingatkan dengan akibat - akibat yang maha dahsyat yg tidak diketahui penghujungnya melainkan Allah.[8]

Syeikh Husin Muhsin Ali Jabir: Saya bersetuju bahawa taadud jemaah pada umat Islam adalah suatu yg batil dan wajib dihapuskan.Sesungguhnya kewajipan pada keyakinan saya bahawa wajib dicurahkan segala tenaga umat Islam didalam satu bahtera dan satu hala tuju sahaja.[9]

Syeikh Mustafa Masyhur, Dr solah Shawi, Dr Yusof Qaradhawi, Said Hawwa: ( Tidak dibenarkan sama sekali taadud seandainya jemaah yg baru ditubuhkan tersebut: tidak mengikuti ketetapan Syarak dan timbul pecah belah serta dendam kesumat juga ditubuh atas dasar tak puas hati antara satu sama lain )

Pendapat yang RAJIH.

Tidak boleh taadud jemaah. Adapun Ulamak yg benarkan taadud dengan BERSYARAT sebenarnya meraikan suasana dan kenyataan taadud yg terjadi di Negara - negara umat Islam. Rasulullah saw sebenarnya secara jelas telah menyatukan umat Islam dalam satu jemaah sahaja dan bukannya berbilang jemaah. Walaupun Ulamak - ulamak ada menyatakan boleh , tetapi SYARAT - SYARAT yg disebutkan perlu difahami dengan jelas agar tidak dipergunakan sebagai alasan bagi mewujudkan jemaah yang baru pula didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap Jamaah Islam yang sebelumnya. Kehendak ulamak tersebut adalah tidak boleh taadud bila SYARAT yg digariskan tidak terlaksana.

KLASIFIKASI JAMAAH .

Jamaah adalah umum . Di sana ada Jamaah yang tidak menepati sifat Harakah Islamiyyah atau Jamaah yang bergerak dan berjuang menyebarkan agama Allah, mendidik ummah dan memimpin mereka serta berjuang dalam skop Islam yang Syumul kearah mendaulatkan syariat Allah swt dan mengembalikan Khilafah Islamiyyah di muka bumi ini .
Sebaliknya Jamaah ini hanyalah mengambil satu juzuk yang kecil daripada amal islami seperti Jamaah Kebajikan yang hanya mengurus soal kebajikan anak – anak yatim , khairat kematian dan seumpamanya .

Ada pula Jamaah yang hanya mengambil aspek mengajak masyarakat berbuat baik tanpa melihat kepentingan perlaksanaan undang – undang syariat serta tidak juga melihat kepentingan bertindak menentang kemungkaran . Mungkin dengan alasan kalau semua orang sudah menjadi baik , maka secara automatiknya mungkar akan hilang .

Ada pula Jamaah yang hanya berlegar di ruang hawa dingin dengan pembentangan kertas kerja – kertas kerja Ilmiah di bilik seminar dan simposium . Membincangkan permasaalahan Islam penuh teoritik tanpa terjun ke medan berhadapan dengan permasaalahan ummah yang sebenar dan bergelumang pula dengan segala konflik yang dihadapi oleh ummah .

Ada Jamaah yang terhenti di atas majlis – majlis ibadah seperti wirid zikir , selawat dan berqasidah serta solat nawafil yang banyak tanpa mengambil kira penyakit barah yang dialami oleh masyarakat dan ancaman moral serta aqidah yang melingkari daerah mereka .

Ada Jamaah yang mungkin telah melakukan pelbagai aktiviti amal islami , tetapi mereka akur dan tunduk kepada pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah swt. dan melakukan maksiat serta menaja mungkar yang meleka dan melalaikan ummah dengan alasan , ruang untuk mereka melakukan amal islami masih terbuka , sementara pihak yang lain masing – masing ada tanggungjawab masing – masing untuk menjaga akhlak dan aqidah .
Begitulah pelbagai warna Jamaah yang wujud .
Persoalannya , adakah jika kita memilih salah satu Jamaah lalu memberikan Intima’ Tanzimi kepadanya , iaitu kepada Jamaah yang jelas memperjuangkan Islam yang syumul , merangkumi segala aspek tuntutan Islam seperti Jamaah yang berjuang menegak yang Makruf dan menentang kemungkaran , berdakwah mengajak masyarakat kembali kepangkuan Ilahi dan memimpin mereka , yang menggerakkan semangat jihad disegenap lapangan termasuk pendidikan , ekonomi dan sebagainya maka ia di kira sebagai Jamaah Centric .

Berkemungkinan sukar untuk memperolehi Jamaah yang sempurna begitu , tetapi sekurang – kurangnya ada jamaah yang dilihat hampir dengan kriteria Jamaah yang dikehendaki oleh Allah swt. dengan 5 sifat yang Allah gariskan dalam surah Al Maidah Ayat 54 berbanding Jamaah yang kedudukan mereka sangat jauh dari garis sempadan ilahi .

Firman Allah swt. yang bermaksud :

Wahai orang – orang yang beriman ! sesiapa yang berpaling dikalangan kamu dari agamanya maka nescaya Allah swt akan mendatangkan satu golongan :

1. Allah kasih kepada mereka , mereka kasih kepada Allah swt.
2. Bersikap lunak sesama orang yang beriman
3. Bersikap tegas terhadap orang – orang yang ingkar
4. Mereka berjihad dijalan Allah swt dan
5. Mereka tidak takut celaan orang – orang yang mencela .

Demikian itu kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah swt. adalah Tuhan yang Maha luas PembendaharaanNya lagi Maha Mengetahui .
Surah Al Maidah : 54

Apakah kita tidak boleh membezakan Jamaah yang berjihad di jalan Allah swt. untuk mendaulatkan syariat Allah dengan Jamaah yang tidak berjuang untuk mendaulatkannya .
Apakah kita tidak boleh membezakan Jamaah yang berani berkata benar demi menegakkan agama Allah dengan Jamaah yang tunduk dan takut kepada penguasa yang zalim dan angkuh .
Sebaik sahaja kita mengenali Jamaah yang lebih hampir kepada kehendak syara’ , lalu kita memberikan Intima’ kepadanya tetapi tidak kepada yang lain , maka adakah ia dianggap bersikap Jamaah Centric ?

Apakah mereka pula tidak bersifat Ummah Centric , kerana mereka tidak meletakkan sebelah lagi kaki mereka dalam Jamaah yang lain ?

AMAL JAMAEI BUKAN JAMAAH CENTRIC

Apabila Jamaah dibentuk , ia semestinya dibentuk bersama manhaj dan system perkaderannya yang tersendiri berasaskan struktur amal jamaei . Ini diakui sendiri oleh Al Marhum Mustafa Masyhur di dalam buku kecilnya : Bainal Qiyadah wal Jundiyyah a’la Toriqid Dakwah .

Pemimpin dan anggota yang bekerja serta berjuang menegakkan Islam dan martabat ummah berasaskan manhaj dan sytem perkaderan Jamaahnya , bukanlah bersifat Jamaah Centric malah tidak boleh pun dianggap bersifat Jamaah Centric .

Jamaah Centric hanya boleh disifatkan kepada mereka , apabila mereka berjuang untuk kepentingan Jamaah mereka bukan untuk kepentingan Islam , untuk pengaruh Jamaah mereka bukan untuk pengaruh Islam , untuk menegakkan Jamaah mereka bukan untuk menegakkan Islam .

Adapun mereka yang berjuang menegakkan Islam dan martabat ummah melalui wadah atau platform Jamaah dengan memberi intima’ kepada Jamaah mereka serta taat kepada pemimpin Jamaah mereka ( selama mana tidak disuruh melakukan maksiat ) , sekali – kali tidak boleh disifatkan sebagai Jamaah Centric . Sekalipun mungkin mereka tidak boleh menerima kehadhiran Jamaah tertentu di persada perjuangan .

Sebab mereka bukan berjuang untuk Jamaah mereka , tetapi untuk Islam dengan menjadikan Jamaah mereka sebagai wadah atau Platform . ( sementara kepentingan dan kewajipan wujudnya wadah atau platform ini telah terdahulu perbahasan kita . )

Sikap tidak menerima Jamaah lain , seandainya diambil berasaskan dalil syara’ maka ia tidak mengapa , sebab di sana tidak semua Jamaah yang boleh diterima menurut pandangan syara’.
Pengalaman dalam perjuangan untuk mengakkan Islam di muka bumi ini , terlalu banyak kita bertemu dengan Jamaah Parasit sekalipun mereka juga mendakwa sebagai Jamaah Islam .

Kita tidak boleh mengiktiraf sesebuah Jamaah itu sebagai Jamaah Islam semata – mata mereka mendakwa mereka adalah Jamaah Islam , tetapi mesti dirujuk kepada dalil dan nas . Apakah mereka menepati Jamaah yang memperjuangkan Islam .

Realiti ini bukan pula bermakna kita merasakan hanya Jamaah kita sahaja yang betul . Sebaliknya Kita bersedia dan mesti bersedia untuk bekerja sama dengan pelbagai pihak atau Jamaah yang benar – benar memperjuangkan Islam .

Kita juga bersedia untuk menerima teguran , pandangan dan pembaharuan yang positif demi kebaikan perjuangan Islam .

Sememangnya Amal Jamaei tidak mengajar kita agar merasakan apa yang kita lakukan lebih baik daripada orang lain , malah tidak juga mengajar kita agar bermusuh dengan jamaah – jamaah Islam yang lain . Ini adalah akhlak Islam dan akhlak berjamaah yang sememangnya wujud dan diamal sebelum hadhirnya istilah Ummah Centric .

PEMIKIRAN UMMAH CENTRIC .
Persoalan yang timbul ialah : apakah maksud sebenar Ummah Centric ?

Kalau sekadar untuk menekankan agar anggota Jamaah mestilah menerima Jamaah yang lain , tidak menghina Jamaah yang lain , tidak menganggap Jamaah sendiri lebih hebat dan seumpamanya , maka itu semua adalah silibus Amal Jamaei dan skima pentarbiyyahan yang dilalui oleh anggota Harakah Islamiyyah .

....... atau Ummah Centric itu bermaksud seorang muslim tidak perlu memberi intima’ kepada Jamaah , sebaliknya boleh menyertai mana – mana Jamaah tanpa intima’ dengan alasan Jamaah hanyalah medan amal . Lantas di dalam Jamaah mana sekalipun kita berada , kita boleh beramal atau kita boleh beramal di dalam mana – mana Jamaah sekali pun .

Pengertian Ummah Centric seperti ini hanyalah merosakkan Intima’ Tanzimi dan wala’ kita terhadap perjuangan Islam dan gerakkannya .

Bukankah telah ditegaskan tadi , bahawa perjuangan Islam mesti diurus selia secara munazzamah dan ditadbir dengan sistematik dan terancang . Realiti ini memerlukan pengarahan dari kepimpinan yang thiqah , ditaati dan diberi wala’ ( kesetiaan untuk berjuang dan melaksanakan tanggungjawab perjuangan ) Jika tiada intima’ , wala’ dan taat , bagaimana pula perjuangan tersebut hendak diurus ? ( Rujuk Lampiran bertajuk : Tuntutan Wala’ dan Baiah )

Sebagai contoh saya bawakan disini . mereka yang sebelah kaki dalam Jamaah dan sebelah kaki lagi dalam Jamaah yang lain , bagaimana mereka mengurus perjuangan seandainya datang dua arahan bertindak dalam satu masa ? Bagaimana pula keadaannya jika tangan kanannya di dalam jamaah ketiga dan tangan kirinya di dalam jamaah keempat ?

Mentaati satu arahan dan mengabaikan satu arahan yang lain ? atau mentaati satu arahan dan mengabaikan 3 arahan yang lain . Persoalannya , arahan yang ditaati tidak mengapa , tapi bagaimana pula dengan arahan yang diabaikan ? Situasi yang seperti inilah yang akan menimbulkan fitnah kepada pejuang dan juga kepada perjuangannya .

PEMIKIRAN PARASIT CENTRIC .

Apa yang saya bimbang ialah pemikiran Ummah Centric adalah bertujuan untuk menghalalkan pemikiran Parasit Centric yang boleh tumbuh dan wujud dimana – mana Jamaah tetapi membawa agenda sendiri . ( My Centric )

Contoh kedua yang saya bawa dan ini adalah pengalaman di pentas perjuangan.
Seorang muslim berlatar belakangkan Jamaah A menyertai Jamaah B . Penyertaannya menghasilkan kepercayaan umum dari Jamaah B sehingga diberi amanah menjadi salah seorang dari pemimpin Jamaah B . Atas semangat ummah centric , ia tidak perlu seratus peratus memberi intima’ dan wala’ kepada Jamaah B .

Seketika , berlalu beberapa masa , ia keluar negara untuk urusan ”perjuangan” . Malangnya ia hanya berjumpa dengan mereka dari Jamaah A di luar negara tidak pun bertemu dengan mereka dari Jamaah B sedang di tanahair , beliau adalah pemimpin Jamaah B. ( sikap beliau di dalam negara bersama Jamaah sangat berbeza dengan sikap beliau di luar negara . )
Dari apa yang berlaku dalam contoh diatas , ini menunjukkan beliau bukan lagi berfikiran ummah centric tetapi telah menjadi Parasit Centric .

PENUTUP
Saya hanya ingin menekankan sekali lagi , bahawa Amal Jamaei ( kerja berjamaah ) dengan segala manhaj dan sistemnya tidak boleh disifatkan sebagai Jamaah Centric , demikian juga kita tidak memerlukan pemikiran Ummah Centric sebagaimana yang diperkenalkan , justeru Amal Jamaei telah mengajar kita bagaimana membina sikap terhadap Jamaah Islam yang lain .
Apa yang menjadi keperluan dan keutamaan kepada setiap anggota Jamaah ialah memahami konsep Amal Jamaei dengan betul dan tepat . Nescaya kita akan bertemu dengan pelbagai kaedah yang cukup baik dan berkesan .

Menjadikan kita anggota Jamaah yang baik , memberi Intima’ , thiqah dan ketaatan yang benar kepada Jamaah Islamiyyah ( Harakah Islamiyyah ) dan pimpinannya serta wala’ dan baiah kepada perjuangan Islam yang disertai.

Dalam masa yang sama , kita berlapang dada dan bertolak ansur serta saling bantu membantu tanpa sebarang rasa curiga , apalagi hasad dan dendam terhadap sahabat seperjuangan yang berlainan wadah dan platform , Asal saja mereka benar – benar memperjuangkan Islam dan tidak berpura- pura dalam persahabatan .

Lampiran untuk Pemikiran Ummah Centric : Satu Kekeliruan yang di Sengajakan .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home