INDAHNYA TARBIAH ISLAM

Cukupkah Ilmu Tanpa Amal?

Monday, August 07, 2006

TUNTUTAN WALA’ DAN BAI’AH

Wala'

Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu;

Memberikan kasih-sayang
Memberikan ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
Mengangkat sebagai pemimpin,
Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu,
Memberi kepercayaan,
Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan

Allah swt. berfirman:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَ يُؤْتُوْنَ الزَّكَاْةَ وَ هُمْ رَاْكِعُوْنَ
وَ مَنْ يَتَوَلَّى اللهَ وَ رَسُوْلَهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَإِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْغَاْلِبُوْنَ

“Sesungguhnya orang yang harus kamu berikan wala’ kamu kepada mereka hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tunduk-patuh (kepada hukum-hakam Allah). Dan sesiapa yang memberikan wala’nya kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan (yang mendokong agama) Allah itulah yang pasti menang”.

Surah Al-Maidah. Ayat : 55

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa wala’ dari seorang muslim hanya boleh diberikan kepada tiga golongan iaitu :

Allah
Rasulullah
Mukminin
(orang-orang beriman)

Namun tidak semua orang yang mengaku beriman harus diberikan wala’ kepada mereka. Ini kerana Allah mengikatnya dengan tiga syarat iaitu :

Yang menunaikan solat,
Yang mengeluarkan zakat,
Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.

Dalam suasana hari ini, wala’ kepada orang-orang beriman secara umumnya merangkumi beberapa pengertian :

1. Wala’ kepada kelompok orang-orang beriman iaitu memberi kesetiaan kita kepada ummah mukminin. Contohnya; dalam pertembungan antara kuasa Islam dan kuffar hari ini, jiwa, perasaan dan hati-sanubari kita adalah bersama dengan kelompok beriman walau di mana saja mereka.

2. Wala’ kepada jama’ah atau kelompok orang beriman yang memperjuangkan Islam iaitu dengan menyertai jama’ah tersebut dan menjadi sebahagian dari anggotanya.

3. Menta’ati pemimpin Islam yang menta’ati Allah sama ada pemimpin umum sekelian kaum muslimin (iaitu Khalifah) atau pemimpin jama’ah yang menerajui gerakan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

ثلاثة لا تسأل عنهم: رجل فارق الجماعة وعصى إمامه ومات عاصيا، وأمة أو عبد أبق من سيده فمات،
وامرأة غاب عنها زوجها وقد كفاها مؤونة الدنيا تزوجت بعده، فلا تسأل عنهم

“Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu :

1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya serta mati dalam maksiat,

2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian,

3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).

(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin ‘Abid r.a.)


Bai’ah

Bai’ah bermaksud perjanjian atau sumpah setia untuk menyatakan kesediaan untuk selalu mematuhi dan setia dengan janji yang diikrarkan. Contoh bai’ah yang berlaku semasa Rasulullah s.a.w. :

Bai’ah ar-Ridhwan
Bai’ah ‘Aqabah (pertama dan kedua)

Setelah kita meyakini pemimpin kita dengan menepati konsep wala’ yang ditetapkan oleh Syara’ tadi, maka wajib kita memberi bai’ah kepadanya sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Secara langsung ialah dengan melafazkan ikrar kesetiaan dan ketaatan di hadapannya. Secara tidak langsung ialah dengan mentaatinya dalam segala arahan yang diberikan -selagi tidak menyanggahi Syara’- walaupun tanpa dilakukan ikrar dihadapannya.

Seorang muslim adalah individu yang sentiasa diikat dengan bai’ah. Sabda Rasulullah saw.

من خلع يداً من طاعة لقي اللَّه يوم القيامة ولا حجة له، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتةً جاهليةً

“Sesiapa yang merungkai ketaatannya (dari pemimpin yang adil), ia akan bertemu Allah di hari kiamat dengan tanpa hujjah baginya. Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada bai’ah di tengkuknya, ia mati sebagai mati jahiliah”.

Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., sekelian para sahabat memberi bai’ah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Adapun selepas zaman baginda, umat Islam wajib memberi bai’ah kepada pemimpin-pemimpin yang dilantik di kalangan mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمروا أحدهم

“Apabila keluar tiga orang dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang sebagai pemimpin”.

Riwayat Imam Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.

Jika dalam urusan duniawi (iaitu urusan musafir) Rasulullah mengarahkan supaya dilantik pemimpin, maka lebih-lebih lagi dalam urusan agama dan perjuangan Islam. Institusi kepimpinan amat penting kepada perjuangan dan gerakan Islam. Kerana itu, menjadi kewajipan ke atas setiap ahli gerakan Islam untuk memberi bai’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin jamaah.

Jika dilihat kepada bai’ah yang diambil oleh Rasulullah dari golongan Ansar (melalui bai’atul Aqabah pertama dan kedua), ada dua bentuk bai’ah yang mesti menjadi kelaziman setiap ahli harakah iaitu :

1. Bai’ah untuk sentiasa berpegang-teguh dan beramal dengan setiap ajaran Islam

2. Bai’ah untuk bersungguh-sungguh memperjuang dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

Menurut riwayat Ubadah bin Shamit, salah seorang sahabat yang menyertai bai’atul Aqabah pertama pada tahun ke 12 nubuwwah; dalam bai’ah tersebut Rasulullah s.a.w. mengambil bai’ah dari Ansar dalam perkara berikut;

Tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
Tidak mencuri, berzina dan membunuh anak.
Tidak mengadakan dakwaan palsu di tengah-tengah masyarakat.
Tidak mengengkari Rasullullah di dalam perkara makruf.

Jelas bahawa bai’ah tersebut hanya menyentuh aspek pengamalan dengan ajaran Islam, tanpa melibatkan perjuangan atau peperangan. Namun dalam bai’ah berikutnya iaitu bai’atul ‘Aqabah kedua pada tahun ke 13 nubuwwah, kandungan bai’ah ialah :

Dengar dan patuh kepada arahan nabi s.a.w. sama ada diwaktu rajin atau malas.

Memberi nafkah (kepada perjuangan) sama ada di waktu senang atau susah.

Melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.

Bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan sesiapa pun.

Memberi pertolongan kepada Nabi s.a.w. apabila baginda sampai di Madinah dan mempertahannya sama seperti mempertahankan diri sendiri, isteri dan anak-pinak.

Riwayat dari Jabir r.a.

Nayatalah kepada kita bahawa tanggungjawab seorang muslim bukan hanya beramal dengan Islam, tetapi juga mempertahan dan mengangkat martabat Islam dengan segala pengorbanan yang ada. Jadi, bai’ahnya terhadap harakah juga semestinya merangkumi dua hal tersebut.

[1] أولويات الحركة الإسلامية في المرحلة القادمة : مكتبة وهبة ص 12 [2] Riwayat Imam Ahmad 18544
[3] Riwayat Imam tarmizi 2091
[4] Mustafa Masyhur,Wahdatul Amal fi Qatril Wahid
[5] Said Hawwa,Durus fil Amalil Islami
[6] Dr Solah Shawi,Mada Syariyyatul Intima’
[7] Dr Yusof Qaradhawi,Min Fiqhid Daulah Fil Islam
[8] Fathi Yakan,Ihzaruu Al-Aids Haraki
[9] Husein Muhsin Ali Jabir,At-toriq ila Jama’atil Muslimin

0 Comments:

Post a Comment

<< Home