Isu nada dering ayat al-Quran: Mufti, Jakim 'telagah
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan penggunaan nada dering ayat al-Quran dan azan pada telefon bimbit tidak menyalahi hukum Islam, namun Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berpandangan sebaliknya.
Mufti berusia 35 tahun itu berkata, alasan melarang penggunaan nada dering ayat al-Quran lebih kukuh daripada membenarkannya dan beliau akan mengusulkan pengharamannya apabila mesyuarat majlis fatwa diadakan tahun depan.
“Telefon bimbit boleh berbunyi di mana-mana saja tanpa dapat kita mengawalnya, termasuk ketika di dalam tandas. Sebaik-baiknya kita tidak buat perkara yang dilarang atau dibimbangi berlaku sama ada secara sedar atau tidak, kerana ia permulaan kepada perkara dilarang.
“Perkara ini sama seperti larangan wanita dan lelaki bukan muhrim pergi ke tempat sunyi kerana boleh mengundang zina,” katanya kepada Metro Ahad.
Sebelum ini Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata biarpun setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan penggunaan nada dering ayat al-Quran dan azan, Jakim berpendapat ia tidak salah di sisi agama.
“Jakim tidak nampak daripada sudut agama bacaan ayat al-Quran salah dijadikan nada dering, sebaliknya ia lebih memberi kebaikan untuk mengingatkan kepada waktu solat dan mendekatkan diri kepada agama.
“Apa bezanya cakera padat al-Quran dan ayat al-Quran yang kita dengar menerusi radio dan juga boleh didengar dalam bentuk nada dering telefon. Ia sama saja. Ia tidak bertentangan dengan agama dan kalau nak dianggap seperti hiburan, ia masih tidak salah selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak,” katanya.
Bagaimanapun, Mustafa berkata, Jakim tidak membenarkan ayat al-Quran dipaparkan pada skrin telefon bimbit kerana bimbang pengguna membawanya ke tempat tidak sesuai seperti ke tandas dan tempat hiburan melampau yang boleh merendah kesucian ayat al-Quran dan membawa kepada melakukan dosa.
“Kalau ayat al-Quran dipaparkan pada skrin telefon, ia hendaklah dipadamkan kerana bimbang kita bawa ke tempat tidak sesuai atau masuk tandas. Begitu juga nada dering ayat al-Quran dan azan, tidak baik jika dibawa ke tempat seperti itu,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata, amalan mematikan nada dering untuk memasuki tandas memang mudah dinyatakan secara teori, namun daripada segi pelaksanaannya tidak ramai berbuat demikian.
“Jika ada mengatakan mereka akan menutup bunyi telefon bimbit ketika memasuki tandas, keadaan itu sukar ditemui kerana masih ramai gagal berbuat demikian.
“Jika ini pun sekarang tidak mampu dilakukan, apa lagi jika nada dering bacaan ayat al-Quran dibenarkan kerana besar kemungkinan mereka lupa menutup telefon atau tidak membawanya,” katanya.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula sebelum ini dilaporkan berkata, daripada satu aspek, nada dering ayat suci al-Quran dan laungan azan mengingatkan umat Islam mengenai ibadat seperti kewajipan menunaikan solat, namun penggunaannya juga boleh merendahkan kesucian ayat al-Quran.
“Memang baik untuk umat Islam tetapi daripada satu segi, ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, kalau didengar di tempat seperti itu, ia merendahkan kesucian al-Quran,” katanya.
Ogos lalu, seorang ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan nada dering telefon bimbit kerana dianggap menjejaskan kesucian Islam.
Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh, apa lagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya dalam tandas atau premis hiburan seperti disko.
“Ayat suci al-Quran sangat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,” katanya.
Seorang lagi ulama negara berkenaan, Suad Afif, mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci al-Quran dan azan.
“Kita tidak mahu di tengah kegilaan masyarakat mendapatkan nada dering diminati, aspek kemurnian agama Islam pula tercemar dan tidak terjaga. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan diperlekeh, baik secara sengaja atau tidak,” katanya.
Ulama kolej agama Dar-ul Uloom di India, Mohammed Asumin Qazmi, pula mengeluarkan fatwa mengharamkan petikan ayat al-Quran atau laungan azan dijadikan nada dering dan berkata, perbuatan itu menyalahi ajaran Islam.
“Ayat al-Quran bukan untuk tujuan hiburan. Sesiapa yang terus melakukannya patut disingkirkan daripada masyarakat,” katanya.
Ulama terkenal di Lucknow, India, Mufti Badru-Hasan, pula dilaporkan berkata, beliau menyokong larangan penggunaan nada dering seperti itu.
“Seseorang perlu mendengar ayat al-Quran dengan lengkap dan menghayati apa dibaca. Jika ia digunakan sebagai nada dering, pemilik biasanya akan menekan butang untuk menyahut panggilan, menyebabkan ayat al-Quran itu terputus separuh jalan. Ini bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home