INDAHNYA TARBIAH ISLAM

Cukupkah Ilmu Tanpa Amal?

Monday, December 18, 2006


Saya hanya mahu bersihkan imej Islam – Mufti Perlis

KANGAR 17 Dis. – Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, cadangan beliau agar serbuan khalwat di hotel dihentikan oleh pihak berkuasa agama bertujuan untuk membersihkan imej Islam daripada perkara-perkara yang tidak sewajarnya.

Menurutnya, kesilapan dalam kes-kes tangkapan khalwat termasuk menangkap pasangan suami isteri yang tidur di hotel dan juga terhadap pasangan asing bukan Islam merupakan perkara yang boleh memalukan agama Islam.

‘‘Saya tidak mahu agama Islam menjadi bahan ketawa kerana kesilapan yang kita lakukan sedangkan agama tidak menuntut kita melakukan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, Islam tidak menyuruh umatnya melakukan serbuan khalwat berdasarkan pada maklumat yang tidak jelas dan kemudiannya bertindak seperti mengaibkan pasangan terlibat.

Dr. Asri menambah, jika isu seperti khalwat menjadi keutamaan pihak berkuasa dengan melakukan serbuan maka perkara mungkar yang lain juga wajar diambil tindakan yang sama.

‘‘Kalau begitu kita kena intip rumah-rumah yang dikatakan berlaku kemungkaran termasuk suami isteri yang mungkin melakukan perkara mungkar seperti tidak bersembahyang dan menahan pasangan lelaki dan perempuan yang menaiki kereta yang sama,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman yang mahu mengadakan muzakarah bagi membincangkan cadangan itu, katanya, beliau akan berjumpa dengan Jakim esok.

Dr. Asri memberitahu, umat Islam boleh bertindak menyekat kemungkaran sekiranya sesuatu perbuatan mungkar itu melibatkan kepentingan pihak lain seperti rasuah, dadah atau meminum arak yang mendatangkan masalah kepada orang lain.

Dosa khalwat katanya, hanya melibatkan antara mereka yang berkenaan dengan Tuhan dan mereka juga mungkin bertaubat setelah dihadapkan ke mahkamah.

‘‘Kita boleh bertindak terhadap aduan khalwat sekiranya maklumat itu benar dan tidak perlu kita pergi membuat pemeriksaan secara rambang atau berdasarkan pada maklumat tidak jelas,” katanya.

Dr. Asri berkata, beliau dan beberapa lagi mufti serta pegawai kanan Jakim termasuk Mustafa akan berangkat ke New Zealand pada malam esok bagi mengikuti perbincangan tentang program produk halal.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home