MALAYSIA MENUJU " FREE SEX "
cetusan rasa :
Islam Hadhari tajaan UMNO dan BN tidak meletakkan tanda arah yang selamat bagi masa depan Negara ini , malah tidak pernah berjaya membentuk syakhsiyyah ummah yang beriman dan bertaqwa.
Realiti ini dapat disaksikan secara mudah melalui landskap politik Negara dan perkembangan sosialnya. Apa yang wujud ialah penguasaan dan pengaruh material yang jauh terpisah dari wahyu Ilahi.
Nafsu syahwah yang buas dan liar pula didapati mengungguli gaya hidup semasa masyarakat , sementara elemen spiritual yang dianggap boleh mengekang penguasaan nafsu syahwah dari melewati batas syariat terus dicurigai dan dipandang negative.
Kecemerlangan Negara telah dinodai oleh peningkatan jenayah dipelbagai lapangan dengan begitu dahsyat dan menakutkan. Jenayah yang tidak lagi dinilai indeknya per"tahun" atau per"bulan" tetapi telah dihitung peningkatannya per"minit" atau per"saat" .
Kegemilangan Negara telah dicemari oleh indeks rasuah dan penyelewengan kuasa oleh pihak "atasan" . Sistem kehakiman tidak lagi diyakini ketelusannya sementara badan – badan yang selayaknya memagari Negara dan masyarakat telah bertindak merosakkan Negara dan masyarakatnya sendiri.
Keterbilangan Negara menjadi omongan kosong yang tidak melonjak prestasi Negara samaada di mata rakyat sendiri mahupun di persada antarabangsa. Sebagai contoh mudah , akta zalim ISA masih menghantui rakyat dan meninggalkan kesan fobia yang ketara bagi mereka yang pernah menjadi mangsanya. Hak bersuara dan kebebasan untuk beramal dengan Amal Islami masih giat dihalang dan disekat.
Kebodohan dan kekejaman .
Slogan dan prinsip Islam hadhari kini menjadi bahan perlecehan oleh ahli UMNO dan BN sendiri , bahkan apa yang lebih lucu ialah apabila pengasasnya turut menyimpang jauh dari apa yang ia asaskan sendiri.
Tiadalah kebodohan yang paling teruk melainkan mereka yang mengasaskan sesuatu gagasan tetapi dia sendiri kelihatan tidak yakin dan memahami apa yang ia asaskan .
Demikian tiada kezaliman yang lebih kejam melainkan mereka yang mencipta undang – undang dan peraturan tetapi mereka sendiri melampaui dan melanggar undang – undang serta peraturan ciptaan mereka.
Mungkin ada pihak yang agak sukar menerima penegasan saya, sebalik nya berpihak kepada UMNO dan BN dengan segala sangka baik.
Manakan tidak , apa lagi yang diperlukan oleh rakyat setelah kerajaan UMNO dan BN menyediakan segala kemudahan material buat Negara dan rakyat. Kenapa lagi kerajaan mesti ditentang ? Bukan kah ini membuktikan kita kelak menjadi rakyat yang tidak tahu berterima kasih dan tidak tahu diuntung ?
Telah saya tegaskan tadi , bahawa Negara kita hanya berada di bawah pengaruh material yang tidak menjanjikan keredhaan Ilahi. Malah kita tidak pernah cemburu apalagi menentang tindakan UMNO dan BN yang membangunkan Negara ini sebagai kemudahan kepada rakyat , sementelah itulah tugas sebuah kerajaan yang berdaulat.
Kita tidak menentang pembinaan hospital , sekolah , perpustakaan awam , jalan raya dan sebagainya . Tetapi apa yang menjadi persoalannya ialah , Apakah paksi dan sendi segala pembinaan struktur material ini ?
Apalah ertinya , Negara memiliki pembangunan mencakar langit namun dicelah – celah pembangunan itulah hidupnya manusia yang tergamak menjual tubuh mereka untuk mencari sesuap nasi , menghabiskan sisa usia sekadar menikmati kepuasan nafsu syahwah yang melekakan , menghambakan diri kepada najis dadah yang membunuh masa depan mereka .
Celah – celah pembangunan itulah menjadi sarang yang melahirkan manusia yang tiada lagi peri kemanusiaannya tetapi hanya melahirkan manusia yang berperi kebinatangan .
Konsert hiburan yang marak tanpa dibendung , kelab malam yang diluluskan operasi sehingga awal pagi , pusat pelacuran yang aktif tanpa dibenteras , pengedar dadah yang lolos melalui pintu rasuah , aktiviti pemurtadan ummat Islam yang tiada tindakan drastic untuk membasminya , perlecehan akhlak dan moral melalui aksi menjolok mata malah separa lucah para artis di dada akhbar dan layar pawagam , jenayah dikalangan VIP sering bolos dari jaring undang – undang dan banyak lagi , dan banyak lagi dan banyak lagi fenomena – fenomena negative dihadapan kita , menjadikan apa yang telah saya tegaskan ini tidak boleh dinafikan mentah – mentah.
Media cetak dan elektronik menjadi virus yang melalaikan .
Surat Khabar sering memaparkan topic yang tidak membina aqal budi ummah apalahi akhlak dan maruah diri mereka . Lihat sahaja kepada akhbar Malay Mail yang membawa topic "Let's talk about sex" secara terbuka menghina sensitivity ummah bermaruah .
Paparan gambar lucah dan separa lucah oleh artis dalam dan luar Negara di dada – dada akhbar malah majalah – majalah yang mudah diperolehi turut menyumbang kepada pembentukan generasi yang lalai dan runtuh moral mereka .
Dialog dan perbincangan yang merangsang nafsu kini mula boleh didengari melalui corong – corong radio ,[1] siri – siri jenaka TV turut menggunakan istilah - istilah "double meaning" .
Filem – filem melayu kelihatan semakin hari semakin panas dan berani mengutarakan perlakuan seks ketara dan terbuka sebagai langkah merosakkan nilai fitrah dan fikrah masyarakat .[2]
Saya berani cabar , sila tunjukkan kepada saya , mutaakhir ini surat khabar mana ( Berita harian , Utusan Malaysia dan Metro ) dan hari apa yang tiada memuatkan topic serta gambar lucah atau separa lucah .
Malaysia melalui pemerintahan Islam Hadhari kini menanda arah untuk membawa Malaysia menjadi sebuah Negara Free Sex pada masa depan .